Bismillahhirrohmannirrohim Daripada Ibnu Umar katanya, saya dengar Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di akhirat kelak.” (Hadis riwayat Bukhari)
Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sifat-sifat orang munafik, antaranya, apabila dia berkata, dia berbohong. Apabila dia berjanji, dia mungkiri dan apabila diberi amanah, dia khianat. Maka wajar jika Rasulullah menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.
Dalam sebuah riwayat diceritakan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah untuk meminta nasihat. Lelaki itu mengakui bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini, Rasulullah berkata kepadanya, “Hanya dengan satu perkara, Laa Takzib! (Jangan berbohong!)”
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah SAW.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah SAW lelaki itu berkata di dalam hatinya, “Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu.”
Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.“Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya?” bisik hati kecil.
Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah SAW dan setiap kali pulalah hatinya berkata, “Bagaimana kalau saya ditanya Rasulullah? Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya."
"Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku wajib dihukum. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga.” Itu menyebabkan lelaki itu langsung berhenti daripada berzina.
Lelaki itu mengikut nasihat Rasulullah, ternyata dia dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat Rasulullah itu.Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya.
Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.
Berbohong Satu Pengkhianatan
Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.Renung-renungkan!
A man is never more truthful than when he acknowledges himself a liar ~ Mark Twain
No comments:
Post a Comment