Thursday, November 6, 2008

..pesan..

Minggu lepas, sebelum saya outstation ketika makan tengahari saya sempat berpesan dengan kedua-dua anak saya. Saya khuatir melihat gejala sosial yang melibatkan muda-mudi remaja terutamanya dari kalangan kaum muslim. Mereka seolah-olah tidak ada hala tuju, hidup mereka liar, tak terkawal. Entah apa yang mereka cari pun tak dapat dikenal pasti. Yang pastinya, mereka tidak memiliki keperibadian (syakhsiyyah) Islam!
Saya berpesan kepada anak saya, masa mereka kecil, saya didik, asuh dan pupuk nilai-nilai Islam agar mereka sentiasa mengamal cara hidup Islam. Apabila tiba masa nanti, mereka baligh, mereka akan memilih dua jalan.
"Ketika itulah abah risau dan khuatir, kalau-kalau anak-anak abah memilih jalan yang salah. Allah membentangkan kepada kita 2 jalan, masing-masing ada pintunya. Pintu kebenaran bila dibuka kita akan melaluinya dengan penuh ranjau duri sepanjang jalan kerana itu semua adalah ujian dari Allah agar kita sentiasa istiqamah, sabar menjalaninya." saya menarik nafas panjang. Mata anak sulung saya itu saya renung dalam2.
"Manakala pintu kebatilan pula, bila kita buka, kita akan dapati 2 lagi pintu. Masing-masing indah dan cantik, menarik hati agar kita tertarik untuk melangkah melaluinya. Salah satu pintu kebatilan itu bila dibuka akan terlihat segala bentuk keindahan dunia namun pintu itu boleh dibuka semula untuk kita keluar darinya biarpun terpaksa mengharungi kesengsaraan jika kita benar-benar insaf dari meneruskan perjalanan hidup diatas kebatilan/kemaksiatan." hati saya sebak. Saya ceduk lauk gulai untuk si adik. Bersungguh2 dia mendengar walaupun usianya baru 10 tahun. Saya meneruskan.
"Manakala satu pintu lagi kebatilan, sekali kita melangkah masuk melaluinya maka tiada lagi peluang untuk kita kembali ke asal. Kita akan terjerat di dalamnya dengan noda dan dosa, sehingga kita kembali dijemput Izrail, sudah tentu tiada yang layak untuk kita melainkan neraka yang penuh seksa dan azah yang maha pedih!" Anak sulung saya mendengar dengan teliti.
Mungkin dia faham apa yang cuba saya sampaikan. Mesej yang penting saya ingin sampaikan adalah sebagai seorang muslim kepada muslim yang lain perlu ada ikatan kasih-sayang yang diterjemah dalam bentuk muhasabah, tazkirah (peringatan) agar masing-masing hidup dalam atmosfera yang diredhai Allah SWT. Tambah pula sebagai seorang ayah, jauh dilubuk hati saya, saya sayangkan anak-anak saya agar mereka menjadi seorang muslim yang sangat mentaati Allah hingga mereka diredhai Allah biarpun dunia ini membelakangi mereka.
Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrati a'yun wa ja'alnalil muttaqina imama, amin.
Tengahari itu saya tinggalkan anak-anak saya dengan penuh rasa sebak sehingga tak mampu saya menoleh lagi kebelakang. Membuka pintu kereta dengan Bismillah, memulas kunci dan menekan minyak dengan perlahan. Keluar dari pagar dengan tak semena2 meluru sebuah lori ke arah saya..
Hari ini saya melihat dengan linangan air mata, isteri dan anak-anak2 saya dipinggir sebuah pusara yang masih baru dengan surah Yasin ditangan..Sayangnya saya hanya boleh melihat..

No comments: