Tuesday, May 11, 2010

Pelukis Lukisan Alam

Bismillahhirrohmannirrohim
Pak Fathil atau nama sebenarnya Mohammad Fazillah bin Mohd Khair merupakan seorang pelukis jalanan yang cukup dikenali penggemar hasil lukisan di sekitar bandaraya Johor Bahru terutamanya di Masjid Abu Bakar. Beliau telah dilahirkan di Jalan Johor Simpang 5 Bagan Batu Pahat pada 15 April 1933.
Anak ke-6 dari 10 beradik pasangan bahagia Mohd Khair bin Hj. Taib dan Rashminah binti Hj Ashari mempunyai bakat terpendam dan minat yang mendalam dalam bidang seni lukis. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bandar Tinggi Batu Pahat pada tahun 1945 ketika usia menjangkau 12 tahun dan berjaya menamatkan pembelajaran 6 tahun selepas itu sekitar tahun 1951 pada usia 18 tahun.

Tidak seperti kanak-kanak seusianya, beliau lebih suka bersendirian menghabiskan masa dengan melakar dan melukis objek di permukaan tanah dan dinding rumah, dengan menjadikan karektor kartun Nancy keluaran akbar News Street Times sebagai sumber inspirasi membuatkan minat dalam lukisan semakin mendalam. Hasil karyanya sering mendapat pujian dan sentiasa memenangi pertandingan selain menjadi pilihan pihak sekolah untuk dijadikan perhiasan disekolah.Disebalik kejayaan beliau juga adalah dari kerja keras guru pendidikan seninya iaitu En Effendi bin Razali yang tidak pernah berhenti memberi kekuatan dan panduan kerana percaya akan bakat anak didiknya, sehinggakan ada yang sanggup membelinya kerana tertarik dengan hasil lukisan yang kemas dan cantik.

Minat yang mendalam dalam seni lukis membuatkan beliau terus menjadikan lukisan sebagai pendapatan sampingan sehinggalah beliau mengambil keputusan berhijrah ke Johor Bahru. Penghijrahan ke Johor Bahru pada tahun 1952 adalah titik permulaan beliau menjadi pelukis jalanan yang dikenali. Menjadikan Masjid Abu Bakar sebagai tempat meluahkan bakat seninya, lukisan beliau sentiasa mendapat perhatian kerana hasil seni yang halus dan kemas selain motif Malaysia yang dibawa sehingga berjaya menarik minat pelancong yang biasanya datang dari England, Jepun dan Korea untuk membelinya.

Purata pendapatan beliau pada ketika itu pernah mencecah hingga RM 100 sehari jika tiada gangguan cuaca dan sebagainya. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sekitar tahun 1991 beliau disahkan menghidap katarak pada kedua-dua belah mata. Musibah yang menimpa diri tidak pernah menggugat kekuatan dan semangat untuk terus melukis.Pembedahan pertama yang melibatkan mata kiri berjaya dijalankan pada tahun 2005 dan ingin diteruskan dengan pembedahan mata kanan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana beliau disahkan menghidap paru-paru berair. Setelah mendapat rawatan beliau dikejutkan lagi dengan jangkitan kuman di bahagian paru-paru seterusnya merebak ke saraf kaki mengakibatkan kesukaran untuk berdiri dan berjalan.

Perubahan pada kesihatan memaksa beliau untuk berhenti dari melukis yang selama ini menjadi sumber pendapatannya. Kini pada usia 77 tahun dengan berbekal kudrat yang semakin lemah, langsung tidak dapat melihat pada pandangan sebelah kanan dan hanya bergantung pada mata kiri sahaja. Beliau meneruskan perjalanan hidup dangan suasana suram tidak seindah warna pada lukisan yang pernah dihasilkannya dulu.

Setelah iCon mengenali Pak Fathil, iCon dapat rasakan betapa pedihnya hati seorang insan seni yang tidak dapat berkarya disebabkan keupayaan yang terbatas kerana kami juga adalah dari kalangan orang seni. Tujuan iCon tiada lain, hanyalah ingin membahagiakan hati seorang insan yang telah menghabiskan hampir seluruh hidupnya untuk membahagiakan insan lain dengan hasil lukisannya agar beliau dapat melalui sisa-sisa hidupnya dengan secebis kebahagiaan hasil dari membahagiakan orang lain.

DIBAWAKAN OLEH iCon, JUALAN AMAL LUKISAN-LUKISAN PAK FATHIL AKAN DIADAKAN 15HB-16HB MEI INI DI FIESTA PROTON / BELIA 2010 YG AKAN DI ADAKAN SI SEBELAH BANGUNAN HASIL BERDEPAN PLAZA ANGSANA....JGN LEPASKAN PELUANG MENYAKSIKAN LUKISAN YANG SANGAT CANTIK HASIL NUKILAN PAK FATHIL....

p/s:
Artikel adalah hasil temubual Zainal & foto oleh Syafix

No comments: