Monday, January 25, 2010

Selamat Pengantin Baru

BismillahhirrohmannirrohimJEMPOL 23 Jan. - Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, atau Along Cham (Raja Lawak 2) selamat diijabkabulkan dengan Nur Azilah Seeron, 22, di Majid Jamek Al-Amin, di Felda Lui Selatan 1, di sini hari ini.

Along Cham sah menjadi suami Nur Azilah atau dikenali Zila (peserta Akademi Fantasi 4) selepas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Rujuk Cerai Kawasan Bandar Sri Jempol, Jamhari Samsudin dengan dua kali lafaz nikah.

Kedua-dua mempelai kelihatan menawan bagai pinang dibelah dua apabila menggayakan baju pengantin berwarna hijau rekaan Ezlnnz Collections. Zila menerima RM200 sebagai mas kahwin dan hantaran RM17,119 daripada Along Cham.

Kata Zila, kenduri perkahwinan mereka dibuat secara sederhana dan gotong-royong bersama ahli keluarga serta penduduk kampung. ''Cara ini bukan sahaja menjimatkan belanja malah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kami," katanya.

Suasana majlis berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran saudara-mara serta sahabat-handai terdekat sambil diserikan dengan alunan muzik tradisional. Pada majlis itu, Zila menerima tujuh dulang hantaran antaranya sirih junjung, mas kahwin, cincin dan gelang, jam tangan, minyak wangi dan alat solek, senaskhah al-Quran serta kek dan dibalas dengan sembilan dulang kepada pihak pengantin lelaki.

Antara artis yang hadir memeriahkan majlis itu ialah penyanyi popular, Mawi bersama Ekin, Ain serta Didie Alias bersama suaminya. Along ketika ditemui berkata, dia sangat gembira bergelar suami kepada Zila kerana apa yang dirancang selama ini berjalan lancar.

Majlis persandingan pihak perempuan diadakan di kediaman Zila selepas dinikahkan pada pukul 11 pagi, manakala majlis persandingan pihak lelaki pula akan diadakan di Felda Jaya, Johor pada 14 Februari ini.

Along Cham mula mengukir nama dalam industri dunia hiburan selepas menjadi finalis pertandingan Raja Lawak musim ke-2 anjuran Astro.

Selamat Pengantin Baru